Kita pernah digemparkan tentang kejadian remaja perempuan yang ingin membunuh diri di KB Mall Kelantan. Mujurlah si remaja tadi tidak mati dan hanya cedera sahaja. Jangan menunding jari semata-mata atau gatal mulut menuduh warga Kelantan begitu kerana bukan di Kelantan sahaja berlaku kejadian sebegitu rupa, malah di negeri-negeri lain juga ada berlaku.
Ini kerana gadis itu mengalami masalah jiwa, akibat tertekan dengan keadaan hidup sekeliling. Putus cinta, masalah keluarga. Bila jiwa kita kosong, maka akan jadi seperti itu. Tetapi jika jiwa kita selalu berhubungkait dengan Allah Azza Wajalla, kita pasti tidak akan melakukan dosa besar sebegitu.
Kebelakangan ini, kejadian bunuh diri semakin menjadi-jadi. Seolah-olah bunuh diri sudah menjadi trend terbaru masyarakat Melayu-Muslim di Malaysia. Dahulu, kita hanya mendengar kisah bunuh diri melalui kaca televisyen dan corong-corong radio sahaja. Itupun kes tersebut berlaku di kalangan masyarakat non-muslim khususnya yang berlaku di negara Jepun.
Kita sering diajar, bahawa nyawa itu berharga. Bahkan Islam selalu memperingatkan tentang perkara ini berabad lamanya. Pendek kata, soal sayang nyawa itu bukanlah menjadi persoalan sejak dahulu di kalangan masyarakat Islam melayu. Tetapi kini ia sudah terbalik.
Kerana hutang terbeban, mahu tidur atas jalan keretapi.
Kerana putus cinta atau tunang, mahu terjun bangunan.
Kerana gagal mendapatkan sesuatu, mahu teguk racun rumpai.
Adakah ini tempias masyarakat moden seperti Jepun terhadap kita?
Jangan Membunuh Diri
Kita ada agama. Kita punya Allah Ta’ala yang Maha Berkuasa, kita ada Rasulullah tercinta (Baca: Sunnah Baginda SAW) kita ada ibu bapa, kita ada sanak saudara, dan kita ada manusia berguna di dunia ini. Mengapa harus meninggalkan kesemuanya dengan cara keji lagi jijik?
Sedangkan Allah SWT Maha penyayang terhadap hambaNya. Allah mampu mengampun segala dosa noda kita sekelip mata tanpa diminta. Kembalilah kepadaNya. Agar kembali kita nanti dihadapanNya persis kain putih tanpa garis-garis hitam mendukacitakan.
Jangan membunuh diri, kerana azabnya pedih tak terkata.
Jika Rasulullah SAW mengetahui yang umatnya terlibat membunuh diri, pasti dia murka dan kecewa. Jangan hampakan Baginda SAW. Bagaimana bisa Baginda SAW mahu memberi syafaat kelak, sedangkan kita lari menjauh dari ajarannya? Menjauh dari sunnahnya?
Jangan membunuh diri, hargai nyawa anda.
Hampir separuh mati ibu melahirkan anda. Bapa pula bertungkus lumus siang malam bekerja demi sesuap nasi membesarkan anda. Mereka mahu melihat anda berjaya dunia akhirat. Hasil daripada kerja keras, mereka menyara anda demi mendapatkan setitis ilmu. Jadi, apakah berbaloi anda mengorbankan diri kerana perkara picisan yang langsung tidak munasabah?
Jangan membunuh diri, kasihanilah mereka. Yakinlah, mereka sayangkan anda.
Dunia ini, kita bukan keseorangan. Daripada mengorbankan diri kepada hal-hal yang hina, apa kata anda berikan manfaat berguna kepada insan-insan lain. Kalaupun anda punya masalah menggunung tinggi, mereka boleh membantu baik dari segi batiniyyah mahupun zohiriyyah.
Jangan membunuh diri, percayalah mereka pasti kecewa bila anda membunuh diri sendiri.
Manusia Kalah, Manusia Yang Rugi
“…dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (An-Nisa’: 29)
Manusia yang membunuh diri sendiri, adalah seperti manusia yang terkalah dalam medan kehidupan. Ini bererti, dia telah mensia-siakan hidupnya begitu sahaja tanpa beroleh apa-apa manfaat. Malah, beroleh azab siksa Allah Ta’ala pula kelak. Itulah manusia yang sebenar-benar rugi.
Manusia seperti itu juga, seolah-olah telah berputus asa dari rahmat Allah Ta’ala. Sedangkan orang yang beriman kepada Tuhan pencipta alam, mereka tidak sesekali pernah menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan. Sama sekali tidak. Itulah sebenar-benar manusia, yang kuat dan tabah apabila ditimpa bala bencana. Sudah pasti apabila mereka kuat berpegang teguh kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan lebih sayang pada mereka berganda-ganda.
Pereratlah sandaran itu seteguh-teguhnya pada Allah Ta’ala, agar cinta kita, bukan lagi cinta yang membunuh. Moga hati kita senantiasa berbahagia. Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi sebagai amaran buat kita semua:
“HambaKu menyegerakan nyawanya sendiri, maka Aku haramkan syurgaKu baginya.”
Olahan daripada yang asal : Roy
Tiada ulasan:
Catat Ulasan